Anak tak sah taraf dalam istilah bahasa Arab disebut walad al-zina yang
bermaksud anak zina atau anak luar nikah. Para Fuqaha’ bersepakat bahawa
anak zina ialah merujuk kepada anak yang dilahirkan hasil perzinaan dan bukan
daripada perkahwinan yang sah atau persetubuhan syubhah (persetubuhan oleh
lelaki dan perempuan yang menyangka mereka adalah suami isteri yang sah).
Oleh itu kesahtarafan seseorang anak adalah merujuk kepada perkahwinan yang
sah daripada kedua ibu bapanya. Rasulullah S.A.W bersabda :
Maksudnya : (Kesahtarafan) seorang kanak-kanak berpunca daripada tempat
tidur (kedua ibu bapanya yang sah) dan seorang penzina adalah layak ditahan.
(Riwayat Al-Bukhari)
Terdapat beberapa implikasi berhubung kedudukan anak taksah taraf dalam
Islam. Implikasi-implikasi tersebut ialah :
--> Penamaan dan Nasab
==> Jika seseorang anak lahir tanpa ada ikatan perkahwinan yang sah di
antara ibunya dengan lelaki yang mensetubuhinya dan bukan
persetubuhan syubhah, maka anak tersebut tidak boleh dibin atau
dibintikan kepada bapa zina. Sebaliknya hendaklah dibinkan atau
dibintikan Abdullah atau lain-lain nama ”Asma’ ul-Husna” yang
berpangkalkan Abdul. Kedudukan ini berbeza dengan anak yang bukan beragama Islam.
Kesahtarafan anak akan dikira dari tarikh ibu dan bapa anak tersebut
memeluk Islam.
--> Pergaulan dan Hubungan
==> Dalam Islam anak tak sah taraf bebas menjalin apa-apa hubungan
atau aktiviti sepertimana yang dilakukan oleh kanak-kanak Islam yang
sah tarafnya.
Hukum pergaulan anak tak sah taraf dengan lelaki yang melakukan
persetubuhan dengan ibunya adalah sama dengan lelaki asing yang
tiada kaitan dengannya (bukan mahram) kecuali lelaki tersebut
menjadi suami ibunya maka hubungannya adalah sebagai ayah tiri.
Perhubungan antara anak tak sah taraf dengan anak-anak di sebelah
ibunya yang sah taraf dan ahli keluarga sebelah ibunya yang lain
adalah hubungan kekeluargaan yang sah. Namun, perhubungan ini
tidak boleh diperluaskan kepada keluarga sebelah bapanya yang tidak
sah kerana keluarga bapa bukan termasuk ahli keluarganya.
--> Nafkah.
==> Tanggungjawab nafkah dan saraan hidup anak tak sah taraf terletak
kepada ibunya. Ini adalah kerana anak tak sah taraf dinasabkan
kepada ibunya dan tidak kepada lelaki yang menyetubuhi ibunya.
Peruntukan mengenai tanggungjawab nafkah ini juga terdapat dalam
Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984 (Akta 303) seksyen 80 (1)
iaitu :
Jika seseorang perempuan cuai atau enggan menanggung nafkah
seseorang anaknya yang tak sahtaraf yang tidak berupaya
menanggung nafkah dirinya, melainkan seorang anak yang dilahirkan
akibat rogol, Mahkamah boleh, apabila hal itu dibuktikan dengan
sewajarnya, memerintahkan perempuan itu memberi apa-apa elaun
bulanan yang difikirkan munasabah oleh Mahkamah.
--> Penjagaan
==> Hubungan nasab (keturunan) anak tak sah taraf dengan ibu serta ahli
keluarganya tidak terputus. Oleh itu tanggungjawab menjaga anak tak
sah taraf menjadi tanggungjawab ibu dan ahli keluarga di sebelah
ibunya. Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984 (Akta 303) seksyen
85 memperuntukkan bahawa :
Penjagaan kanak-kanak tak sahtaraf adalah semata-mata pada ibu
dan saudara mara ibu.
Peruntukan ini selaras dengan kehendak Hukum Syarak yang
menetapkan hubungan nasabnya (keturunan) hanya dengan ibunya
sahaja. Kedudukan ini sudah tentu memberikan hak penjagaan
kepada ibunya atau ahli keluarga ibunya.
--> Harta Pusaka
==> Anak tak sah taraf tidak terputus hubungan kekeluargaan dengan
ibunya. Begitu juga ibu tidak terputus hubungan kekeluargaan dengan
anak tersebut. Oleh itu, kedua-duanya boleh mewarisi pusaka antara
satu sama lain.
Seseorang anak tak sah taraf tidak boleh mempusakai harta bapanya
yang tidak sah. Begitu juga bapa tidak boleh mewarisi harta anak
tersebut kerana kedua-duanya telah terputus hubungan kekeluargaan.
--> Perwalian
==> Hak perwalian diri anak tak sah taraf terletak kepada ibunya.
Walaubagaimanapun, wali perkahwinan bagi seseorang anak tak sah
taraf perempuan dipegang oleh Wali Hakim (iaitu Yang DiPertuan
Agong/Sultan/Raja atau individu yang diberi tauliah). Ini adalah kerana
seseorang perempuan tidak sah menjadi wali di dalam apa jua
perkahwinan. Sabda Rasulullah S.A.W :
Maksudnya : Sultan adalah wali kepada sesiapa yang tidak
mempunyai wali.
Begitu juga lelaki yang menyetubuhi ibunya tanpa akad nikah yang sah,
sama ada dia berkahwin atau tidak dengan ibunya selepas itu juga
tidak sah menjadi walinya.
--> Perkahwinan
==> Keraguan berhubung kesahan perkahwinan seorang anak tak sah
taraf perlu dikikis kerana agama tidak pernah membezakannya dengan
kanak-kanak lain. Mereka juga seperti insan-insan yang lain.
Kesalahan yang berlaku sehingga mereka dilahirkan bukanlah
dosanya tetapi hasil perbuatan ibu dan lelaki yang menyetubuhi ibunya.
Oleh itu perkahwinan anak tak sah taraf perempuan adalah sah,
walaupun ada pendapat yang mengatakan bahawa lelaki yang baik
nasabnya tidak digalakkan mengahwininya.
--> Kematian
==> Kematian seorang anak tak sah taraf yang belum baligh adalah
menurut hukum agama ibunya. Jika ibunya beragama Islam, maka dia
dihukum sebagai seorang Islam. Oleh itu mayatnya hendaklah diurus
secara pengurusan jenazah Islam.
Jika ibunya bukan seorang yang beragama Islam, maka di dihukum
sebagai bukan seorang beragama Islam sekalipun lelaki yang
menyetubuhi ibunya adalah seorang Islam.
--> Pertukaran Status Anak Tak Sah Taraf
==> Seseorang anak tak sah taraf boleh bertukar sifatnya apabila dia
dibuang oleh ibunya dan dijumpai oleh orang lain. Pada ketika itu
statusnya akan bertukar menjadi anak laqit (iaitu anak pungut). Dia
akan menjadi anak angkat kepada sesiapa yang memungut dan diberi
tanggungjawab memeliharanya berdasarkan peruntukan yang
diberikan kepada seorang anak angkat.
--> Amal Kebajikan
==> Amal kebajikan anak tak sah taraf sama ada untuk diri sendiri atau
untuk masyarakat adalah sama seperti anak-anak tak sah taraf yang
lain. Anak tak sah taraf adalah seorang yang suci dan bersih dari
sebarang dosa ibu dan bapanya. Firman Allah S.W.T :
Maksudnya : ... dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiaptiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung
dosanya; dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa
perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja);...
(Surah al-An’am : 164)
Firman Allah S.W.T lagi :
Maksudnya : (Oleh itu) katakanlah (wahai Muhammad): ”Kamu tidak
akan bertanggungjawab tentang kesalahan yang kami lakukan, dan
kami pula tidak akan bertanggungjawab tentang apa yang kamu
kerjakan”.
(Surah Saba’ : 25)
Amal kebajikan mereka tetap akan mendapat ganjaran di sisi Allah
S.W.T sama seperti amal kebajikan orang Islam yang lain. Firman
Allah S.W.T :
Maksudnya : Maka sesiapa berbuat kebajikan sebesar zarrah,
nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! . Dan sesiapa berbuat
kejahatan sebesar zarrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat
amalnya)!.
(Surah al-Zalzalah : 7-8)
Anak tak sah taraf bukanlah seorang insan yang terbiar dan tidak bermaruah
seperti yang disangkakan oleh sesetengah masyarakat. Malah dari sudut agama
dan undang-undang, dia mendapat perlindungan penuh daripada ibunya,
keluarga ibunya dan juga pemerintah. Anak tak sah taraf juga berhak mendapat
keistimewaan, faedah, kebajikan, pendidikan dan boleh melakukan aktiviti-aktiviti
harian sepertimana kanak-kanak lain yang sah tarafnya. Masyarakat harus memberi pertimbangan yang adil terhadap kedudukan anak tak sah taraf. Dengan adanya pertimbangan yang adil, maka akan terhapus
tekanan yang sering menghantui hidupnya.
MEREKA MAMPU MENJADI INSAN SOLEH DAN BERGUNA UNTUK AGAMA, BANGSA DAN NEGARANYA....