Monday, January 24, 2011

Alangkah Ruginya!

Kaab bin Ujrah menceritakan suatu kisah menarik daripada Rasulullah S.A.W di mana baginda bersabda: Hampiri mimbar! Lalu kami semua menurutinya, ketika baginda melangkah ke tangga yang pertama baginda mengatakan:Amin. Apabila baginda melangkah tangga yang kedua baginda mengatakan:Amin, begitulah apabila baginda melangkah tangga yang ketiga. Lalu kami bertanyakan tentang maksud perbuatannya itu, baginda menjawab:Aku didatangi Jibrail a.s mengatakan kepadaku:Jauhlah (rugilah orang yang sempat dengan Ramadhan tetapi tidak mendapat pengampunan. Aku pun menyahut dengan berkata:Amin. Di tangga yang kedua Jibrail mengatakan:Jauhlah orang yang apabila disebut namamu (Muhammad) dia tidak mengucapkan selawat ke atasmu, aku pun menyahut:Amin. Di tangga yang ketiga Jibrail mengatakan:Jauhlah orang yang sempat dengan kedua-dua orang tuanya yang sudah uzur atau salah seorang mereka, tetapi mereka tidak memasukkan dia ke dalam syurga. Aku pun mengatakan:Amin.


Berapa ramaikah manusia hari ini yang bersyukur kerana diberi kesempatan atau peluang mendapat sesuatu nikmat atau rahmat. Lantas apabila peluang itu berlalu pergi mereka merasa menyesal dan ternanti-nanti peluang seterusnya. Dan berapa ramai pula orang yang langsung tidak menyedari peluang-peluang yang datang dan pergi pada mereka bahkan biarpun mereka menyedarinya, namun sedikitpun mereka tidak merasa kerugian atau terkilan kerana mensia-siakannya. Inilah sifat orang-orang yang disebutkan dalam hadith di atas. Sesungguhnya peluang untuk mendapat kebaikan itu sangat banyak bahkan ia wujud di mana-mana dan dalam setiap perkara. Cuma tabiat manusia yang tidak suka untuk melakukannya disebabkan hati dan fikiran mereka sudah dijajah oleh nafsu yang membuatkan hati mereka menjadi keras. Seharusnya kita hendaklah bersyukur apabila diberikan sesuatu peluang kerana tidak semua manusia diberikan kesempatan yang sama sebaliknya kita hendaklah merasa malu kepada Allah kerana gagal menggunakan peluang dan tawaran-Nya yang begitu berharga dengan sebaiknya.





No comments:

Post a Comment